DISEMBER 2022

Tuntutan MA63 Mula Dibincang – Fadillah


KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof akan mula membincangkan dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah mengenai tuntutan Perjanjian Malaysia 1963(MA63).

Katanya, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkannya menyelesaikan tuntutan berkaitan MA63 dalam tempoh sebulan.

"Sudah pasti itu akan menjadi tumpuan utama saya bagi dibincangkan di peringkat kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Fadillah berkata, beliau juga sudah meminta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Sabah Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi melihat keutamaan itu di peringkat Sabah.

"Mana (tuntutan MA63) yang boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan, kita cuba selesaikan, yang selebihnya kita akan melihat mungkin terpaksa dibawa ke Parlimen untuk dapat kelulusan Dewan Rakyat,"katanya.

Katanya tuntutan itu yang sudah  dibincangkan terdahulu juga akan cuba dimuktamadkan dalam tempoh sebulan ini.

Fadillah berkata, beliau bersama-sama Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Dato Sri Nancy Shukri serta Datuk Aaron mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak dan kepimpinan negeri Sarawak.

“Tujuannya untuk mendapat hala tuju daripada kepimpinan tertinggi di Sarawak, fokus kawasan kami sebagai lima menteri mendapat panduan dari segi apakah keutamaan yang perlu kami tumpukan untuk Sarawak," katanya.

Beliau berkata, kunjungan hormat itu juga untuk mereka memberikan taklimat status kerajaan perpaduan yang telah ditubuhkan.

“Hasil perbincangan di kabinet dan dari situ, kita akan berbincang bagaimana peranan kita, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kabinet Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Datuk Aaron berkata, Kementerian Perpaduan Negara berharap dapat memperluaskan keharmonian dan perpaduan kaum di Sarawak ke negeri-negeri lain di Semenanjung.

Katanya, ini kerana Sarawak tidak berdepan masalah perpaduan kerana penduduknya terdiri daripada berbilang kaum hidup dalam harmoni.

"Diharapkan apa yang kita praktiskan di sini dapat dibawa ke negeri lain di Malaysia,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti